Thursday, September 12, 2013

Rindu...

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang....

Syukur ke hadrat Ilahi atas segala nikmat yang diberi...tangan dan jari jemari ini terlalu rindu untuk menari di atas papan kekunci ini...

Hati kadang-kadang berbisik menulis-nulis di dalam hati...namun apabila bertemu dengan si papan kekunci...lain pula yang dibuat...lain pula yang dilihat...

Moga diberikan kekuatan untuk menulis secara konsisten...mungkinkah perlu ruangan baru untuk memberi nafas yang baru buat menyalakan api semangat menulisku? Mungkin...dan mungkin...Andai ruangan itu perlu...andai ruangan itu ada nanti...pasti akan dimanfaatkan!

Salam penuh kerinduan buat ruang ini~

anNamlatuN

Wednesday, January 23, 2013

Makna?


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan…

kini diriku menghampiri enam bulan berada di sini…tiga bulan yang pertama pastinya berlalu tanpa sebarang ikatan dan komitmen kerana masih dalam fasa latihan…tiga bulan yang kedua…pastinya terasa komitmen yang mendadak yang perlu di tangani…sudah enam bulan? Sering kali terngiang di hatiku, apakah maksud yang tersirat dalam setiap ini? Sejauh mana waktu-waktu diriku selama enam bulan ini telah diriku beri manfaat? Turun naik tangga, turun naik perasaan dan emosi, turun naik semangat…turun naik kegembiraan dan kesedihan…

Semuanya terangkul…tergumpal dalam satu jaringan bebola benang yang memanggil-manggil untuk dirungkaikan…makmal, dokumen, komitmen, itu dan ini…sejauh mana diriku telah menjadikan setiap usahaku bermakna? Atau kah setiap yang ku lakukan setiap hari hanyalah mengeluarkan peluh semata-mata?

“Memaknai tugasan”…bagaimana harus dilakukan? “memaknai tugasan”…

“Jadilah perindu dan pengejar redha Ilahi”

Wallahualam

Sunday, December 2, 2012

Kini...=)

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Selawat dan salam buat Rasul junjungan...kekasih Ilahi...kaum keluarga dan sahabat baginda...

Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan rahmat-Nya diriku kini telah merasai sendiri alam pekerjaan yang sebenar. Yang tiada kaitan dengan kekeluargaan mahupun kenalan rapat...segalanya bermula dengan bertatih-tatih...mengenali setiap seorang yang ada di situ...mengenal erti pekerjaan...apa yang perlu dilakukan...apa yang harus dilakukan...

Segalanya pasti ada hikmah yang mengikuti...siapa sangka diriku akan bekerja di kilang.. Kilang? itulah respon yang sering ku peroleh setiap kali ditanya kini berkhidmat di mana. Dulu, ketika masih dalam sesi latihan selama tiga bulan (sebelum mendapat tawaran pekerjaan tetap), menjadi sesuatu yang berat untuk diluahkan setiap kali soalan seperti itu diajukan kepada diriku. Bukan malu, tetapi sukar untuk menjelaskan..hehe. Kini, perasaan itu berjaya dikikis sedikit demi sedikit. Harus rajin mengingatkan diri sendiri bahawa:

                         "Setiap yang diriku lakukan ini, adalah untuk mencapai redha-Nya..."

Apa yang hendak dimalukan dengan pekerjaan di kilang? sememangnya pekerjaan itu menuntut kesabaran dan ketabahan yang tinggi...namun, harus diingat, pekerjaan yang sebagaimana yang sebenarnya adalah mudah? Semoga diriku terus tabah meniti hari-hari yang berlalu...semoga diriku tidak jemu mengingatkan diri bahawa semua ini adalah demi khidmatku untuk Pencipta yang Esa...

Berilah diriku kekuatan ya Rabbi...

"Jadilah perindu dan pengejar redha Ilahi"

Wallahualam
p/s: kekal menjadi teman dan penyejuk hati tika terasa serabut...=) nikmat Ilahi...

Tuesday, September 11, 2012

Coretan


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Setiap detik yang berlalu,
Pasti ada rahsia yang tersembunyi,
Setiap lagu,
Setiap gambar,
Setiap ungkapan,
Pasti ada kenangan yang tersirat,
Kenangan yang terukir,
Memberi seribu satu erti,
Pada diri,
Pada dia,
Pada mereka,
Wahai diri,
Andai diri ini tiada lagi,
Tiada lagi untuk mengukir senyuman di hari esok,
Adakah…
Dalam setiap detik,
Dalam setiap lagu,
Dalam setiap gambar,
Dalam setiap ungkapan itu,
Ada diriku yang kerdil untuk diingati…
“Jadilah perindu dan pengejar redha Ilahi”

Wallahualam


Coretan,
-anNamLatuN-

Sunday, September 9, 2012

Defragment...


Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Penyayang…

Setelah sekian lama, akhirnya diriku mencoret kembali…kehilangan diriku hanyalah untuk beberapa bulan sahaja kali ini…Tiga bulan (Mei sehingga Julai) diriku telah pergi menambah ilmu di bumi semenanjung…Diriku kembali selepas hamper setahun diriku kembali ke tanah tumpah darah ibuku…=)

Defragment…satu perisian yang akan ada dalam setiap komputer peribadi mahupun computer riba…satu perisian yang berfungsi untuk menyusun semula data-data yang ada di dalam computer kita dengan tujuan untuk mengekalkan prestasi dari segi fungsi dan kelajuan computer tersebut. Selalunya, diriku akan melakukan ‘defragment’ atau penyusunan semula data di dalam komputer ku sekiranya komputerku lambat mahupun setelah sekian lama diriku tidak melakukannya…

Apa kaitan defragment ini dengan kehidupan kita? Mungkin keadaan diriku yang agak berserabut dari segi emosi, pemikiran dan tingkah laku untuk beberapa minggu ini, membuatkan diriku terfikir tentang defragment…bukan defragment pada komputer ribaku, namun melakukan defragment itu kepada diri sendiri…terfikir sejenak, bilakah kali terakhir diriku berfikir sejenak tentang menyusun semula hati, menyusun semula pemikiranku, menyusun semula wawasanku, meneguhkan semula pendirian yang terasa semakin goyah…(mudah-mudahan tidak rapuh)…rasanya sudah lama sejak kali yang terakhir…dan sudah tiba masanya untuk diriku mengaplikasikannya dalam kehidupan…

Setiap perkara itu, pasti ada hikmah yang terkandung di dalamnya…mungkin kita akan Nampak secara terus, namun…selalunya hikmah itu akan tersembunyi dari pengetahuan kita…kerana Allah itu adil dan Dia Maha Mengetahui apa yang sepatutnya dan harus berlaku kepada diri kita…

Kesedihan, kemurungan…kegembiraan, keterujaan…rasa kasih sayang, rasa rindu…rasa kecewa, rasa yang tidak menentu…semuanya ada sebab kenapa segalanya berlaku…redhalah dengan setiap ketentuan wahai hati…redha dengan apa yang diberi…kerana setiap perkara itu ada hikmah yang tersembunyi…

Pesanan ini khas buat diriku yang alpa, buat diriku yang sering kali lalai, seringkali tidak berjaya sabar dan redha…mohon petunjuk-Mu ya Ilahi…

Moga diriku akan terus menjadi pengejar dan perindu redha Ilahi….

Wallahualam