Wednesday, May 28, 2008

serangga oh serangga...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Malaysia merupakan sebuah negara yang terletak di garisan Khatulistiwa dan dikurniakan dengan keadaan panas dan lembap sepanjang tahun. Dengan adanya iklim khatulistiwa ini, Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai hutan yang tebal dan penuh dengan koleksi flora dan fauna yang pelbagai. Juga tidak terkecuali koleksi fauna daripada keluarga serangga. (Huhu…tak habis-habis dengan serangganya…=p)

Sungguhpun Malaysia kaya dengan pelbagai jenis serangga yang menghuni hutan belantara dan segenap penjuru habitat yang sesuai, kita seakan-akan tidak mampu menghargai sumber alam yang ada selain dengan cara melabel serangga-serangga ini sebagai perosak tanaman, pembawa penyakit, pengacau hidup dan perkara yang menjijikkan. Benarlah kata pepatah, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Terbuktilah penyataan yang mengatakan, jika ada 10 perkara, 9 perkara adalah perkara kebaikan dan 1 sahaja kejahatan, perkara yang akan lebih dilihat oleh orang lain adalah perkara kejahatan tersebut.

Tahukah anda bahawa serangga mewakili 60% daripada peratus keseluruhan benda hidup? Serangga memainkan peranan penting dalam memelihara beberapa fungsi ekosistem seperti;

1. Mengembalikan nutrien tanah dengan ‘mengitar semula’ daun-daun dan menguraikan najis haiwan dan tumbuhan yang telah mati

2. Melakukan pendebungaan.

3. Membantu mengawal populasi tumbuh-tumbuhan.

4. Menjadi sumber makanan kepada haiwan yang lebih besar.

5. Membantu mengawal struktur komuniti haiwan melalui penjangkitan penyakit kepada haiwan yang besar dan menjadi parasit kepada haiwan yang lebih kecil.

Andai serangga-serangga ini mempunyai saiz yang sama dengan manusia seperti yang digambarkan dalam filem “The Flies” tentu sahaja kita sukar untuk mendapatkan tempat hidup dan perlu bersaing dengan serangga-serangga ini untuk mendapatkan makanan yang secukupnya. Ataupun perkara yang lebih teruk mampu terjadi! Bukan sahaja serangga ini menjadi pembawa penyakit. Tetapi mungkin serangga-serangga ini turut menjadikan kita, manusia sebagai sumber makanan mereka!

Hmm…imaginasi yang agak kerterlaluan! Kerana itulah kita sebagai hamba dan khalifah yang ada di bumi ini harus bersyukur dengan nikmat yang kita peroleh daripada-Nya. Dia telah menjadikan kita sebaik-sebaik makhluk dan kita diberikan akal yang membezakan kita dengan serangga-serangga yang ada. Sesungguhnya, Allah tidak akan menguji kita lebih daripada kemampuan yang kita ada. Kerana Dia lebih mengetahui bahawa kita tidak sanggup untuk bersaing dengan serangga-serangga ini, maka Dia telah menjadikan serangga bersaiz kecil. Dialah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Kita hanya sebagai hamba yang lemah.

Dia telah menundukkan segala yang ada dibumi untuk kegunaan kita. Segala sumber yang ada adalah sebagi kegunaan kepada kita. Andai tidak secara terus, kegunaan tersebut juga boleh dari segi sumber untuk kita mengambil pengajaran dan uga sebagai sumber ilham kepada kita. Percayalah tiada apa yang diciptakan oleh Allah sia-sia.


“Jadilah perindu dan pengejar redha Ilahi”

Wallahualam

Monday, May 26, 2008

Berapa nilai air mata kita?



Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Setiap hari yang berlalu ketika berada di rumah, ada sahaja peluang untuk menonton televisyen. Setiap kali mempunyai peluang tersebut, pasti akan disajikan dengan adegan tangis-menangis (rasanya kata ganda ini tidak wujud). Kalau pada zaman dahulu kita akan hanya melihat tangisan akan menghiasi kaca televisyen ketika melihat cerita-cerita Melayu ataupun cerita Hindustan ketika hero dan heroin nya berpisah ataupun di ambang kematian. Akan tetapi, dewasa ini, tidak perlu menunggu drama Melayu ataupun tayangan gambar Hindi. Cukup dengan sebuah rancangan realiti TV, kita akan mampu melihat adegan tangis-menangis. Pada mulanya, ingatkan perkara tersebut hanya berlaku pada rancangan realiti TV untuk bidang hiburan. Rupa-rupanya, fenomena kini sukar untuk difahami. Pelik campur hairan, apabila adegan yang sama turut kelihatan dalam rancangan realiti TV memilih pemain bola sepak untuk kanak-kanak (maaf, saya pun kurang ingat tajuk penuh rancangan tersebut). Begitu murahkah air mata kita? Berbaloikah air mata kita dikeluarkan atas tujuan menunjukkan keberkesanan rancangan-rancangan ini bermain dengan emosi kita? Yang paling tak tahan apabila babak tangis-menangis itu bukan hanya ’diserikan’ oleh kaum hawa, malah kaum adam juga turut serta! Aduhai bangsaku...aduhai... alangkah bagusnya andai air mata itu kita alirkan ketika kita bersujud memohon ampun atas segala dosa yang kita lakukan. Yang saratnya tidak kita ketahui. Alangkah indah dan bagusnya, andai air mata itu dititiskan kerana takut ibadah dan amal kita tidak diterima oleh-Nya dan bukan kita menangis kerana kita tidak diterima untuk memasuki pertandingan nyanyian ataupun lakonan. Jika kita bandingkan nilai air mata kita dengan pejuang agama dan bangsa satu ketika dahulu, alangkah jauhnya beza nilai harga air mata kita dan harga air mata mereka. Sama-samalah kita kembali mengkoreksikan diri. Teguran terutamanya buat hati ini dan semua...

Sedikit perkongsian;

Hikmat air mata;

1- Setitis air mata keinsafan mampu memadamkan api neraka.

2- Titisan air mata mampu memadamkan titik-titik hitam dalam hati kita.

3- InsyaAllah, apabila kita berdoa, kita menangis merupakan salah satu tanda doa kita dimakbulkan.

”Jadilah perindu dan pengejar redha Ilahi”

Wallahualam.

Sunday, May 25, 2008

segan..>_<

Al-kisah...kelmarin,

Diri ini berpeluang untuk bersiar-siar bersama kakak tersayang ke pasaraya Boulevard Miri untuk urusan pembayaran bil di Pos Office di tingkat empat. Kesempatan untuk menjengah masuk ke PBB Bookstore tidak mungkin akan dilepaskan. Dalam hati, ”harap-harap buku Syabab dah ada”. Buku Syabab terbitan Telaga Biru sudah lama dicari kerana dikhabarkan buku itu merupakan buku yang menjadi satu kemestian untuk dibaca. Tambahan lagi, entah kenapa diri ini gian (addicted) untuk menghadap novel sepanjang cuti yang berbaki sebulan lebih lagi ini. Rak buku yang dipenuhi novel-novel yang kebanyakannya adalah novel-novel cinta menjadi sasaran pertama.

Hatiku melonjak riang! SYABAB!!! Buku itu terus diterkam dan perasaan teruja dan seronok bersilih ganti. Misi selesai! Membawa diri mencari kakak yang entah di mana lokasinya dalam kedai buku PBB. Tengah mencari-cari kelibat kakak ku, tiba-tiba diri ini bersemuka dengan seorang insan yang seakan-akan dikenali. Kami berbalas senyuman. Akan tetapi, sepatah perkataan pun yang muncul di bibir. Begitu jua dia. Bingung...runsing...keliru...entah apa lagi perasaan yang muncul kala itu. Habis satu PBB ditawaf untuk memadamkan kegalauan hati. Saat terpandang wajah insan itu, hatiku berbisik, macam Kak Aisah Munirah! Tapi...kakak-kakak yang berada di Kuching tempoh hari memaklumkan bahawa Kak Aisah sudah kembali ke Kuching untuk berkhidmat di sana. Wargh! Hasrat untuk bertanya ada, tapi kerana tidak yakin, akhirnya aku mengabaikan seketika kekeliruan yang menerpa. Kat mana jumpa kakak tu tadi? Macam Kak Aisah...

Untuk meyakinkan diri bahawa insan yang ditemui itu bukanlah Kak Aisah, jari ini terus laju menaipkan mesej kepada salah seorang kakak yang berada di Kuching. Bertanyakan perihal status kedudukan Kak Aisah saat ini. Balasan mesej yang memberikan sedikit keyakinan bahawa Kak Aisah waktu itu berada di Kuching dan bukanlah di Miri. Petang itu, sekembalinya membantu ayah di gerainya, menyempatkan diri membeli top-up Celcom atas tujuan menghantar mesej kepada Kak Aisah kerana agak lama juga tidak menghantar khabar.

Misi mendapatkan kepastian dimulakan...dengan penuuh debaran jari ini pantas menghantar mesej; pada mulanya bertanya khabar dan di mana dia kini. Dipendekkan cerita, setelah berbalas beberapa mesej, akhirnya...terlerai segala persoalan dan kekeliruan...

Pertemuan dan perpisahan setiap insan teah diatur dengan cantik oleh-Nya untuk kita. Geli hati bercampur baur dengan rasa malu dan segan menerpa diri ketika mengenangkan kembali rentetan peristiwa yang begitu pantas berlalu. Kerana kurang yakin dengan hati diri sendiri menyebabkan pertemuan yang tidak disangka-sangka menjadi suatu ’tragedi’ pada dua insan yang ditakdirkan bertemu. Rupa-rupanya, insan yang ditemui itu sememangnya Kak Aisah Munirah yang hanya sempat ditemui dua kali. Sememangnya dialah orang yang akan pindah semula ke Betong. Dia kembali untuk mengambil barang-barang dan keretanya yang terdapat di kediamannya di Hospital Miri.

Syukur ke hadrat-Nya kerana telah mengizinkan dua insan yang pada mulanya hanya berselisih bahu di hadapan kedai buku PBB bertemu di rumah Lot 740, Pujut 9. =) Ujian Allah ada pelbagai rupa dan salah satunya adalah yang berlaku hari kelmarin. Peristiwa yang ringkas namun penuh erti. Mudah-mudahan hati ini tidak digoyah keyakinan terhadap-Nya yang mengatur cantik setiap yang dikehendaki-Nya. Semoga ukhuwwah yang terbina akan terus kekal dan mekar walaupun kesempatan untuk berjumpa terhad. Manisnya ukhuwwah bila kita tahu menghargainya.

”Jadilah perindu dan pengejar redha Ilahi”

Wallahualam....

Friday, May 23, 2008

Tess liurku....


Nyam...nyam...London Almond kegemaran semua? hehehe...saja jak menguja perut-perut dan lidah-lidah yang mengidamkan biskut yang nyaman di mata dan nyaman di mulut...=) Persediaan untuk hidangan Hari Gawai...

Wallahualam...

4 in 1...Ziarahku di Kuching...


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani...

Syukur ke hadrat Ilahi kerana akhirnya diri ini diizinkan oleh-Nya untuk menjejakkan kaki ke bandaraya Kuching...the City of cats...hehehe..jika dikira-kira, rupa-rupanya minggu lepas pada hari ini, saat ini, hamba Allah ini berada di bumi Kuching.

Terasa begitu nikmat ziarah kali ini...tujuan asal adalah untuk memenuhi hasrat seorang abang untuk melihat adiknya bersama-sama mengikuti Kursus Asas Fasilitator Ideal (KAFI) anjuran PERKEPIS pada 17 - 19 Mei 2008 d Sekretariat PERKEPIS di Tabuan Jaya. Namun, itulah aturan Ilahi, bukan hanya KAFI malah diri ini berpeluang untuk turut serta dalam Rehlah HEWI di Kem Permai, Santubong dan Usrah Umum di Semariang (betol kah eja tok? hehe) dan turut berkesempatan bertemu dengan sahabatku bersama-sama turun nait penambang dan mengexplore setiap kedai kraf yang ada di kawasan Water Front Kuching.

Kalau Milo ada 3 in 1, nampaknya ziarah kali ini lebih hebat sebab dapat menghasilkan 4 in 1. Berjumpa dengan insan yang tidak pernah dijumpa, berjumpa dengan insan yang pernah dijumpa menggamit segala rasa yang ada. Segala rasa yang tidak pernah terbayang dek mata hati. Kesepian yang dirasakan setelah sekian lama, rasa rindu yang tertanam jauh disudut hati hanya mampu difahami oleh Tuan Punya Hati...Kemanisan ukhuwwah walaupun hanya buat perkenalan singkat dirasakan seakan-akan sudah mengenali sesama sendiri selama jangka masa yang lama.

Terima kasih atas keizinan yang tak terhingga nikmatnya ini Ya Allah,
terima kasih atas kehangatan kebersamaan yang tak ternilai dengan apa-apa pun tukaran yang bernilai di dunia ini,
Semoga ukhuwwah, ilmu dan semangat yang diperoleh daripada ziarah ke Kuching kali ini mampu menerbitkan peluang ziarah kali kedua dan kali yang seterusnya...

Moga-moga ikatan hati kita kekal walau dipisahkan dek jarak...semoga manfaat yang dikutip sepanjang ziarah ini bukan hanya kutipan yang sia-sia, tetapi semoga kutipan ini adalah seperti mengutip cangkerang-cangkerang yang cantik di tepi pantai yang boleh dibuat kalungan dan rantai cangkerang yang cantik di mata Pencipta Langit dan Bumi...

"Serulah manusia ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik. Dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya, Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang sesat di jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahu siapa yang diberikan petunjuk." (An-Nahl:125)

Wallahualam...=)