Wednesday, April 30, 2008

Debaran...

Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Debaran yang dirasa semakin kencang...entah apa yang akan disampaikan kepada pelajar-pelajar cemerlang UPSR yang terpilih dari semua sekolah di sekitar bahagian Miri untuk kuliah maghrib esok. Otot-otot dan sendi terasa ngilu kerana terlalu risau memikirkan persiapan yang perlu dilakukan untuk menghadapi detik-detik itu. Pengalaman yang hanya secetek air di dalam baldi yang kecil yang akan dikongsikan bersama-sama adik-adik nanti.

Pengalaman untuk membuat presentation telah banyak yang dilalui sejak dari sekolah menengah sehinggalah ke peringkat universiti. Tidak kira dalam bahasa Melayu ataupun dalam bahasa Inggeris. Namun, pengalaman-pengalaman itu tidak mampu untuk memadamkan mahupun mengurangkan rasa gundah yang tak terhingga ini. Apakah diri ini mampu untuk memanfaatkan pengalaman yang ada dengan adik-adik? Adakah diri ini mampu untuk menyampaikan mesej-mesej yang diingini ke dalam hati adik-adik UPSR itu nanti ataupun hanya sekadar membuatkan mereka terhibur dengan gambar-gambar yang disediakan?

Tajuk yang bakal disampaikan ialah "Malu...ngan semut"...walaupun bagi yang mengenali diri ini, tajuk itu adalah tajuk yang biasa dan mampu untuk menghuraikan dengan baik (insyaALLAH) namun, rasa risau menular. Sebab? Sebab apabila kita terlalu yakin, takut-takut bahasa yang digunakan adalah bahasa yang terlalu tinggi untuk adik-adik UPSR itu nanti...Satu lagi perkara yang merisaukan...teringat akan maksud ayat 2-3 surah As-Saff yang kira-kira bermaksud;

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! (2) Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.(3) (As-Saff:2-3)



Mudah-mudahan diri ini bukan hanya sekadar menyampaikan kepada orang lain peringatan demi peringatan, namun tidak berusaha untuk membetulkan diri yang masih banyak kelompongan yang perlu dan harus ditampal dari semasa ke semasa.

Mudah-mudahan diri ini terus diberikan kekuatan dan terus istiqamah dalam menegakkan agama ALLAH dengan kemampuan diri yang ada.

Akhir kalam, doakanlah ketenangan diri ini dalam menyampaikan segala apa yang perlu buat adik-adik UPSR KMIC UPSR 2008 pada esok hari. Dan doakanlah, walaupun sedikit yang diterima, namun masih mampu untuk memberi kesan kepada hati adik-adik ini dalam melakar kecemerlangan mereka dunia dan akhirat...

Wallahualam...

Dari diri yang risau...=)

Thursday, April 24, 2008

Rezeki yang dikongsi bersama...



Dengan nama Allah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang yang menurunkan rezeki yang tidak terhingga kepada setiap hamba-Nya.

Cuti selama tiga bulan yang kini berusia tiga minggu sukar untuk disia-siakan untuk perkara-perkara yang digemari. Setiap hari, perkara asas yang akan dihadapi ialah 3B iaitu baring, bakery dan buku. =) Walaupun diri ini bukan merupakan pekerja yang baik yang akan terpacak di depan bakery pada pukul 9 setiap pagi, namun itulah tempat yang ditujui setiap hari. Pantang ada cuti, pasti tulang empat kerat ini takkan bosan menguli dan membungkus roti. Kerana apabila kita bekerja, barulah kita sedar betapa nikmatnya rezeki yang kita peroleh dengan titik peluh sendiri. Apabila kita menyedari hakikat tersebut, kita tidak akan sewenang-wenangnya membazir duit yang kita ada untuk perkara-perkara yang tidak perlu. Itulah yang saya fikir menjadi benteng pertahanan diri ini apabila berada jauh daripada keluarga.

Terdapat empat perkara yang telah ditentukan oleh ALLAH terhadap hamba-hambaNya yang tidak boleh diubah lagi iaitu kelahiran, ajal, jodoh dan rezeki. Rezeki yang halal merupakan perkara yang penting kerana dengan duit yang halal inilah kita akan membeli makanan-makanan yang bakal menjadi darah daging diri kita. Mungkin sering disebut-sebut, ”We are what we eat”. Apabila kita makan daripada sumber rezeki yang halal, maka baiklah darah daging kita dan begitu juga sebaliknya. Kenikmatan lebih dirasai dan lebih dihargai apabila rezeki itu adalah daripada usaha kita sendiri.


Semasa bekerja di Morni Bakery, setiap petang sambil menunggu ban-ban seperti ban tuna, ban nugget, ban kacang merah dan ban mentega susu (hehehe...saja nak menguja perut yang lapar...=p ) untuk sejuk, pasti diri ini tidak akan melepaskan peluang untuk duduk disofa di ruang tamu sambil menghabiskan buku ’One Child’ karya Torey Hayden (InsyaALLAH akan saya kongsikan setelah selesai pembacaan), dan menikmati pemandangan yang saya rasa sangat indah dan bermakna. Hati ini sangat terhibur melihat ’telatah’ burung-burung yang pelbagai jenis menikmati serpihan-serpihan roti ataupun nasi yang sengaja ditaburkan. Ketika itu, ada rasa nikmat dan syukur yang tidak terhingga apabila kita berkongsi rezeki dengan orang lain walaupun bukan dengan sesama manusia.

Saya selalu mengingatkan pada diri bahawa orang yang paling bahagia adalah orang yang memberi manfaat kepada orang lain. Selagi kita mampu, seharusnya kita berusahalah untuk memberikan manfaat kepada orang lain dan tidak lupa kepada benda hidup yang lain tanpa mengharapkan balasan daripada orang atau benda hidup tersebut. Tetapi, berharaplah agar setiap amal dan kebaikan yang kita lakukan itu adalah semata-mata untuknya mendapatkan keredhaan daripada-Nya.

Akhir kalam buar renungan bersama- sebuah hadith ;

Dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Tidaklah sesuatu pemberian sedekah itu mengurangi banyaknya harta. Tidaklah
Allah itu menambahkan seseorang akan sifat pengampunannya, melainkan ia akan
bertambah pula kemuliaannya. Juga tidaklah seseorang itu merendahkan diri karena
mengharapkan keridhaan Allah, melainkan ia akan diangkat pula derajatnya oleh Allah
'Azzawajalla. (Riwayat Muslim)

Semoga kita sama-sama menjadi orang yang bermanfaat kepada orang lain.

”Jadilah perindu dan pengejar redha Ilahi”

Wallahualam.

Wednesday, April 23, 2008

Metamorfosis (2)

Sambungan daripada metamorfosis (1)


Dia menyatakan bahawa; kita maklum dengan adanya dua jenis metamorfosis seperti yang diterangkan di atas, iaitu metamorfosis lengkap dan metamorosis tidak lengkap. Dan apabila kita bandingkan antara peringkat-peringkat dalam metamorfosis itu sendiri dengan peringkat perkembangan dan pertumbuhan manusia, pupa dan nimfa mewakili peringkat remaja manusia. Dengan ini, kita boleh bahagikan kepada dua jenis remaja. Remaja yang mempunyai persekitaran dan kawalan yang baik daripada keluarga dan remaja yang diberikan kebebasan yang tidak terkawal oleh ibu bapa. Remaja yang baik adalah seperti serangga yang mempunyai metamorfosis lengkap seperti rama-rama. Manakala remaja yang bebas ini boleh diumpamakan seperti lipas yang mempunyai metamorfosis tidak lengkap.

Seekor rama-rama, apabila diperingkat larva, ia akan makan seolah-olah kali itu adalah kali terakhir peluang untuk ia makan seumur hidupnya sehinggalah satu tahap larva itu akan membentuk pupa ataupun tempat yang melingkungi dirinya. Apabila dalam bentuk pupa, ia akan ’terperangkap’ di dalam pupanya untuk satu jangka masa sehingga bentuknya seperti rama-rama yang cantik dan bersedia untuk menempuh dunia luar. Seperti juga remaja yang terkawal, mereka dikawal daripada terlibat dengan gejala-gejala buruk yang semakin sukar dikawal dan dipandu dan dipantau dalam pemilihan kawan-kawan mereka mampu untuk menjaga diri apabila mereka dilepaskan ke dunia luar, mampu untuk menjadi seorang dewasa yang berpotensi untuk cemerlang dalam dunia dewasanya.

Kebanyakan remaja yang bebas yang kita boleh perhatikan dimana-mana sahaja dewasa ini, rata-ratanya merupakan golongan yang cepat terpengaruh dengan rentak semasa terutamanya yang berpunca daripada barat. Apabila satu pengaruh masuk mereka akan cuba untuk mengubah diri agar ’diterima’ oleh rakan-rakan. Perubahan yang berlaku mengikut keadaan semasa yang ’moden’ ini seperti seekor nimfa lipas yang membesar dengan menukarkan kulit yang lama dengan kulit baru yang lebih besar daripada sebelumnya beberapa kali mengikut keadaan sehinggalah mencapai kematangan atau dewasa. Nauzubillah... janganlah sehingga remaja-remaja pewaris negara ini terus menjadi seperti lipas yang sentiasa berpeleseran tanpa arah tujuan yang tetap.

Sama-sama kita fikirkan sama ada kita ingin diri kita seperti seekor rama-rama yang cantik ataupun seperti seekor lipas yang sentiasa berpeleseran tanpa arah yang tetap.
VS

Akhir kalam, buat renungan semua;

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; ۞ (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. ۞ (Al-’Imran:190-191)

”Jadilah perindu dan pengejar cinta Ilahi”

Wallahualam

(10:29/210408)

Monday, April 21, 2008

Metamorfosis (1)

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang…

Dengan izin-Nyalah, diri ini masih mampu untuk berdiri, jantung ini masih mampu berdegup dan mengedarkan darah ke seluruh badan, jari-jemari ini masih mampu untuk menari mengikut ilham yang diberikan oleh-Nya. Sesungguhnya, jadikanlah aku seorang hamba yang sentiasa bersyukur atas nikmat yang mencukupi yang dikurniakan oleh-Mu ya Ilahi…

Beberapa hri kebelakangan ini, akalku terusik oleh perkaitan yang kita boleh buat antara proses metamorfosis dan kenapa kita perlu lebih bersyukur untuk lahir sebagai seorang manusia dan bukan seekor serangga serta pengajaran yang kita boleh ambil daripada proses metamorfosis ini.

Saya pasti di tahap sekolah rendah ataupun ketika di peringkat sekolah menengah rendah dalam mata pelajaran Sains (silibus pendidikan Malaysia) pernah diajar secara ringkas tentang apa itu metamorfosis. Metamorfosis merupakan satu proses yang melibatkan perubahan dari satu peringkat ke satu peringkat ataupun dari satu fasa kepada fasa yang lain bermula daripada peringkat telur sehinggalah ke peringkat dewasa atau juga dikenali sebagai imago dalam kehidupan seekor serangga.

Terdapat dua jenis metamorfosis, iaitu metamorfosis lengkap dan metamorfosis tidak lengkap. Contoh yang paling selalu digunakan oleh guru-guru ialah rama-rama untuk metamorfosis lengkap dan belalang untuk metamorfosis tidak lengkap.


Metamorfosis lengkap:

Telur , Larva , Pupa , Imago (dewasa)


Metamorfosis tidak lengkap:

Telur , Nimfa , Dewasa


Maha Suci Allah yang telah menciptakan segala-galanya dengan tidak sia-sia. Terfikir sejenak…Jika kita renung peringkat-peringkat metamorfosis lengkap, kita boleh bandingkan peringkat-peringkat tersebut dengan peringkat-peringkat dalam perkembangan manusia sendiri. Kita letakkan;

Telur = Di dalam kandungan ibu
Larva = Bayi – kanak-kanak
Pupa/Nimfa = remaja
Imago = dewasa – tua

Secara jujurnya, saya masih belum dapat melihat perkaitan yang tepat antara proses metamorfosis ini dengan kehidupan manusia. Sesungguhnya, aturan Yang Esa itu indah apabila saya berpeluang untuk berbual dengan kakak saya ketika diri ini masih mencari-cari idea yang harus ditulis dalam post ini. Pandangan yang saya cari-cari selama ini akhirnya ditemui...

Wednesday, April 16, 2008

Post ku ditulis sambil makan mee kolok. Jangan jeles! =)

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang…

Tiada yang layak disembah melainkan-Nya dan Nabi Muhammad pesuruh Allah. Segala puji hanya bagi-Nya yang menciptakan seluruh alam.

Alhamdulillah, minggu ini merupakan minggu yang kedua kepada cuti antara semester selama 3 bulan memandangkan jurusan yang diambil tidak menawarkan subjek untuk melakukan semester pendek. Maka, sekali lagi diri ini perlu menghadapi cuti yang walaupun agak panjang, namun insyaAllah akan mampu untuk dimanfaatkan dengan sepenuhnya.=)

Sambil-sambil mencari idea saya sedang menikmati Mee Kolok buatan ayah saya.=) Dengan izin dan berkat-Nya insyaALLAH, semoga perniagaan Mee Kolok dan Laksa Sarawak ayah saya akan bertambah maju! Amin… Ehehehe…

Diam tak diam, kini saya menunggu semester seterusnya untuk dibuka. Buka sahaja semester yang baru itu nanti, genaplah setahun saya berada di UIAM Kampus Kuantan. Setahun yang lalu, selesai sahaja Matrik di Petaling Jaya, saya sudah memulakan sesi merungut, betapa malangnya saya kerana terpaksa belajar nun jauh di Kuantan. Bayangan untuk belajar di Kampus Gombak semakin pudar dan terasa ingin ditangisi. Namun, seharusnya saya sedar bahawa setiap aturan Tuhan itu pasti ada hikmah yang tersembunyi. Pasti ada hikmah yang kita tidak sedari. Perjalanan yang dijadualkan pada awalnya, terpaksa diawalkan seminggu sebelum tarikh tempahan tiket yang awal setelah menerima surat tawaran ke Kuantan. Debaran semakin terasa kerana tidak tahu apa sebenarnya yang bakal dihadapi. Apa yang saya tahu, perjalanan pulang ke bumi Miri pasti lebih susah untuk diatur, lebih kurang peluang untuk menghadiri usrah PERKEPISMA di KLCC, pastinya tidak banyak toko buku yang boleh dilawati dsitu dan niat untuk terus aktif dalam silat harus dipendam buat sementara waktu. Segala-gala pasti akan lebih mudah jika meneruskan pelajaran di kampus Gombak.


Apa yang saya ketahui semuanya tepat, apabila kaki ini menjejakkan kaki ke Kampus Indera Mahkota. Namun, apa yang saya perlu sedari, peluang yang lebih luas dan terbuka disini berbanding jika saya berada di Kampus Gombak. Rasa sayang semakin hari semakin mekar…=) Hati saya selalu berkata, Kuantan mengajarku lebih memahami erti syukur. Memang benar, perjalanan untuk balik bercuti lebih banyak prosedur, namun memberikanku peluang untuk menaiki bas bersama rakan-rakanku yang tinggal di Kuala Lumpur. Memang benar susah dan rindu akan usrah di KLCC, namun rasa rindu inilah yang mencetuskan rasa ingin mengajak rakan satu negeri membuat usrah di Kuantan dan alhamdulillah berjaya dibuat walaupun jarang. Memang benar, toko buku tidak banyak, makanya, menjadikan sebab untuk sekali-sekala menziarahi abang dan rakan-rakan di Kuala Lumpur. Segala-galanya sudah diatur dengan cantik oleh yang Maha Bijaksana. Apabila kita mampu untuk bersabar menempuh segala liku, kita akan lebih menikmati dan merasai nikmat hidup itu.

Hidup adalah satu proses yang diatur dengan penuh kesabaran. Perkara yang paling mudah untuk menilai sabar dalam kehidupan ialah, tanpa sabar kita tidak akan dapat menikmati Maggi kerana kita perlu sabar untuk menunggu air panas. Tanpa sabar, kita tidak akan ada pakaian kerana tukang jahit tidak sabar menjahit pakaian. Jika tidak sabar, mungkin kita tidak akan lahir ke dunia kerana ibu kita tidak sabar menunggu kita terbentuk dengan penuh kesabaran selama 9 bulan 10 hari. Masya-ALLAH, betapa pentingnya kita bersikap sabar dalam kehidupan seharian. Akhir kalam, setiap hari yang kita lalui, andai disulami dengan sabar, kita akan mendapat hasil yang setimpal dengan kesabaran kita. Walaupun, kita tidak dapat meneka masa depan kita dengan pasti, maka percaya dan yakinlah bahawa aturan ALLAH itu adalah aturan yang terbaik dan Dia akan memberikan yang terbaik buat hamba-hamba-Nya yang bersabar.


Demi Masa! ۞ Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian ۞ Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
(Al-Asr:1-3)

”Jadilah perindu dan pengejar redha Ilahi” =)

Wallahualam

15:17

Monday, April 14, 2008

Air & Diri

Assalamualaikum w.b.t...

Segala puji bagi Allah, Tiada yang layak disembah melainkan-Nya...Dialah yang menciptakan diri dan menciptakan air...

Tulisan ini tercetus semasa mengulang kaji bab Air dan fungsinya (Water and its function) dalam mata pelajaran Molecular Cell Biology...=)


Air dan Diri

Subhanallah…

Sesungguhnya ciptaan ALLAH sangat indah…setiap satunya mempunyai pengajaran yang kita boleh ambil daripadanya. Sering kali penulis mengajak sahabat-sahabat merenung akan kejadian serangga. Tapi kali ini, penulis ingin membawa sahabat-sahabat untuk merenung kembali kejadian air. Air merupakan satu bahan yang sangat penting dalam kehidupan kita. Jika tanpa makanan, kita masih boleh bertahan untuk hidup selama seminggu. Namun, tanpa air selama tiga hari badan kita tidak akan mampu untuk bertahan lagi. Semua yang ada di muka bumi ini sangat memerlukan air.

Indahnya ciptaan air. Jika kita lihat susunan unsur oksigen dan hidrogen yang membentuk molekul air.



Molekul-molekul air mempunyai ketarikan antara satu sama lain membolehkan permukaan air boleh menjadi kenyal. Sifat kenyal air boleh dilihat apabila ada ayak-ayak (serangga yang boleh berjalan di atas air) yang tidak tenggelam apabila ‘berjalan’ di atas air. Ketertarikan molekul-molekul ini menyebabkan setiap molekul ini masing-masing mengatur ke posisi yang terbaik secara spontan agar kawasan yang bercas positif (hidrogen) boleh mendekati bahagian yang bercas negatif (oksigen). Cuba kita fikir sejenak, kaitan dengan kehidupan kita seharian. Setiap hari kita dikelilingi orang yang kita sayangi sama ada ahli keluarga mahupun kawan-kawan. Sungguhpun kita mengakui bahawa kita sangat menyayangi individu-individu dalam hidup kita, namun kadang kala kita masih tidak mampu untuk bertolak ansur. Ego dan sifat mementingkan diri sendiri menebal dalam diri. Kita tidak mampu untuk mengatur posisi secara spontan seperti air. Kita jarang sekali mengutamakan orang lain daripada kepentingan diri sendiri. Kita jarang ingin berkongsi kegembiraan kita dengan orang lain, kita jarang dapat membuatkan keluarga dan kawan-kawan kita tersenyum lebar kerana kita. Tapi kita sering menginginkan orang lain memujuk kita, membuatkan kita gembira. Tidak adil kan? Sesungguhnya orang yang paling mulia adalah orang yang banyak manfaatnya kepada orang lain. Andai kita tidak mampu untuk melakukan sesuatu yang besar, cukuplah dengan kita senyum dan berkata baik dengan kawan kita. Andai kita memerlukan masa untuk bersendirian, beritahulah kawan-kawan kita secara baik dan bukan dengan menjeling atau mendengus apabila mereka bertanya. Bersyukurlah kerana kita masih mempunyai kawan-kawan yang ingin berkongsi kesusahan dengan kita. Tentunya terdapat ramai insan di dunia ini yang menginginkan kawan-kawan ketika susah dan senang. Jadi bersyukurlah...

Janganlah kita membenci apabila ada kawan-kawan kita marah pada kita, ataupun tiba-tiba tidak dapat dihubungi lagi. Bersangka baiklah dengan orang lain. Mungkin mereka mempunyai masalah dan mungkin mereka tidak sengaja untuk melakukan sedemikian rupa. Maafkanlah selagi mampu, doakanlah kesejahteraan mereka sentiasa dan mohonlah keampunan daripada Tuhan Yang Esa, kerana Dia Maha Pengampun dan Maha Mengetahui segala apa yang tersurat dan tersirat di dalam hati setiap hamba-hambaNYA.
Renungi ciptaanNYA dan muhasabahlah diri agar kita terus menjadi perindu dan pengejar redhaNYA.
Wallahualam...

-annamlatun-
10:01 (3 jan 2008)

Friday, April 11, 2008

Hyperactivity vs sugar?

In the name of Allah the Most Gracious the Most Merciful...



I've been wondering...does sugar really triggers our hyperactivity like what i used to experience every time i consume Milo and some other confectionery and dairy products like chocolates? The feeling of having lots of energy and have all the strength to tease people...=p does really seem to appear after consuming sugar. But when i search on the Yahoo! Health, they deny the fact! Hmm...is there any other reason behind this phenomena? Let me quote you what http://www.sugar.org/ comment on this issue;



"Myth-Sugar makes kids hyperactive


There is no relationship between sugar consumption and hyperactive behavior. Kids are naturally enthusiastic, prone to showing excitement for new activities and like to move around. Multiple scientific studies have concluded that children who consume drinks and foods with sugar show no difference in behavior than kids who consume sugar-free products.
The reality is this: Sugar does not turn normal children into hyperactive ones.
“Thus, despite numerous anecdotal perceptions to the contrary, systematic, controlled studies show that sugars do not cause hyperactivity.”A.L. Mardis. Current Knowledge of the Health Effects of Sugar Intake. Family Economics and Nutrition Review 13(1): 87-91, 2001."



do you know something or anything related to this? Lets crack our curiosity together!!! =)


Wallahualam...

Nikmatnya pacaran setelah pernikahan...=p


Salah satu cara untuk menambahkan pengetahuan dan mem'buang' masa serta memenuhi rak-rak kosong yang terdapat di dalam bilik adalah dengan memiliki buku-buku seperti buku ini. Setelah sekian lama (dibeli pada bulan Januari), buku "Nikmatnya pacaran setelah pernikahan" karya Salim A.Fillah berjaya dihabiskan dengan jayanya. =)
Dengan tajuk yang 'catchy', buku ini sering mendapat perhatian rakan-rakan yang bertandang ke bilik di Kampus. Respon biasa yang menghiasi wajah rakan-rakan seperjuangan ku ini adalah seperti..."Ade ape-ape ke bace buku macam ni?", "waa...buku ape ni?"...jawapan yang mampu untuk diberikan ialah senyum ataupun...hehehe...jawap dengan jawapan yang sepatutnya menjadi jawapan kepada soalan-soalan panas mereka.
Anda mungkin tertanya-tanya, apa sebenarnya yang ingin disampaikan oleh penulis dengan tajuk yang sungguh memikat hati ini?! Kupasan menarik telah diberikan oleh penulis tentang erti cinta yang kian disempitkan definisinya dengan hanya mendefinisikan cinta yang berkaitan dengan hawa nafsu. Terdapat banyak lagi jenis cinta yang ada yang jauh lebih agung daripada cinta antara lelaki dan perempuan yang mengisytiharkan diri mereka sebagai pasangan yang sedang nikmat dalam berpacaran. Cintakan Allah dan Rasul, dan cinta kepada ibu bapa yang sememangnya dan seharusnya diletakkan sebagai cinta di tingkat yang teratas...betul bukan? =)
Dengan menggunakan bahasa yang mudah (malah seperti penulis tersebut sedang bercakap dengan kita), penulis mengetengahkan contoh kisah cinta yang patut kita contohi dari Sirah Rasulullah s.a.w.. Seperkara lagi yang menarik didalam buku ini ialah, penulis telah menulis satu surat untuk para pasangan yang berpacaran yang tidak tahu hala tujuannya bagi memudahkan hubungan yang tidak jelas itu untuk dihentikan...
Buku yang telah diulang cetak sebanyak 11 cetakan sehingga bulan Jun 2007 ini, merupakan buku yang ketiga yang saya baca daripada penulis yang sama. Buku yang terdahulu ialah buku "Agar bidadari cemburu padamu" dan buku "Kuliah, Kerja dan Nikah"...hehehe...tajuk-tajuknya mungkin agak kontroversial untuk seorang penuntut sperti saya. Tetapi, saya beranggapan bahawa apa pun jenis pembacaan kita adalah untuk membuka minda dan menambahkan keterbukaan kita terhadap isu-isu semasa...=)
Buku ini boleh diperoleh di Fajar Ilmu Baru yang terletak di aras 2 bangunan yang bertentangan dengan masjid India, Kuala Lumpur. Jangan ketinggalan untuk menghayati isi buku ini bagi yang berpeluang memiliki naskhah buku ini. =)
Akhir kalam buat renungan diri ini dan semua;
"Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagi kalian, maka jadikanlah ia sebagai musuh kalian. Kerana sesungguhnya syaitan itu mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala" (Fathir:6)
Wallahualam...=)

Thursday, April 10, 2008

Alhamdulillah...

Segala puji bagi Allah Tuhan yang menciptakan udara yang tak pernah terputus bekalannya buat kita hamba-hambaNya di muka bumi...

Nikmat yang tak terhingga yang takkan kita mampu untuk dibalas sehingga keringat kita yang terakhir. Marilah kita menjadi seorang hamba yang bersyukur atas nikmat yang tak terhingga yang dipinjamkan kepada kita. Semoga kita menjadi peminjam yang baik dan mampu untuk memulangkan 'barang pinjaman' kepada Empunya 'barang' dalam keadaan yang baik sebaik rupa ketika 'barang' tersebut dipinjamkan kepada kita.

Wallahualam

"Jadilah perindu dan pengejar redha Ilahi"
-anNamLatuN-