Segala puji bagi Allah, Tiada yang layak disembah melainkan-Nya...Dialah yang menciptakan diri dan menciptakan air...
Tulisan ini tercetus semasa mengulang kaji bab Air dan fungsinya (Water and its function) dalam mata pelajaran Molecular Cell Biology...=)
Air dan Diri
Subhanallah…
Sesungguhnya ciptaan ALLAH sangat indah…setiap satunya mempunyai pengajaran yang kita boleh ambil daripadanya. Sering kali penulis mengajak sahabat-sahabat merenung akan kejadian serangga. Tapi kali ini, penulis ingin membawa sahabat-sahabat untuk merenung kembali kejadian air. Air merupakan satu bahan yang sangat penting dalam kehidupan kita. Jika tanpa makanan, kita masih boleh bertahan untuk hidup selama seminggu. Namun, tanpa air selama tiga hari badan kita tidak akan mampu untuk bertahan lagi. Semua yang ada di muka bumi ini sangat memerlukan air.
Indahnya ciptaan air. Jika kita lihat susunan unsur oksigen dan hidrogen yang membentuk molekul air.
Molekul-molekul air mempunyai ketarikan antara satu sama lain membolehkan permukaan air boleh menjadi kenyal. Sifat kenyal air boleh dilihat apabila ada ayak-ayak (serangga yang boleh berjalan di atas air) yang tidak tenggelam apabila ‘berjalan’ di atas air. Ketertarikan molekul-molekul ini menyebabkan setiap molekul ini masing-masing mengatur ke posisi yang terbaik secara spontan agar kawasan yang bercas positif (hidrogen) boleh mendekati bahagian yang bercas negatif (oksigen). Cuba kita fikir sejenak, kaitan dengan kehidupan kita seharian. Setiap hari kita dikelilingi orang yang kita sayangi sama ada ahli keluarga mahupun kawan-kawan. Sungguhpun kita mengakui bahawa kita sangat menyayangi individu-individu dalam hidup kita, namun kadang kala kita masih tidak mampu untuk bertolak ansur. Ego dan sifat mementingkan diri sendiri menebal dalam diri. Kita tidak mampu untuk mengatur posisi secara spontan seperti air. Kita jarang sekali mengutamakan orang lain daripada kepentingan diri sendiri. Kita jarang ingin berkongsi kegembiraan kita dengan orang lain, kita jarang dapat membuatkan keluarga dan kawan-kawan kita tersenyum lebar kerana kita. Tapi kita sering menginginkan orang lain memujuk kita, membuatkan kita gembira. Tidak adil kan? Sesungguhnya orang yang paling mulia adalah orang yang banyak manfaatnya kepada orang lain. Andai kita tidak mampu untuk melakukan sesuatu yang besar, cukuplah dengan kita senyum dan berkata baik dengan kawan kita. Andai kita memerlukan masa untuk bersendirian, beritahulah kawan-kawan kita secara baik dan bukan dengan menjeling atau mendengus apabila mereka bertanya. Bersyukurlah kerana kita masih mempunyai kawan-kawan yang ingin berkongsi kesusahan dengan kita. Tentunya terdapat ramai insan di dunia ini yang menginginkan kawan-kawan ketika susah dan senang. Jadi bersyukurlah...
Janganlah kita membenci apabila ada kawan-kawan kita marah pada kita, ataupun tiba-tiba tidak dapat dihubungi lagi. Bersangka baiklah dengan orang lain. Mungkin mereka mempunyai masalah dan mungkin mereka tidak sengaja untuk melakukan sedemikian rupa. Maafkanlah selagi mampu, doakanlah kesejahteraan mereka sentiasa dan mohonlah keampunan daripada Tuhan Yang Esa, kerana Dia Maha Pengampun dan Maha Mengetahui segala apa yang tersurat dan tersirat di dalam hati setiap hamba-hambaNYA.
Renungi ciptaanNYA dan muhasabahlah diri agar kita terus menjadi perindu dan pengejar redhaNYA.
Wallahualam...
-annamlatun-
10:01 (3 jan 2008)
No comments:
Post a Comment