Wednesday, April 16, 2008

Post ku ditulis sambil makan mee kolok. Jangan jeles! =)

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang…

Tiada yang layak disembah melainkan-Nya dan Nabi Muhammad pesuruh Allah. Segala puji hanya bagi-Nya yang menciptakan seluruh alam.

Alhamdulillah, minggu ini merupakan minggu yang kedua kepada cuti antara semester selama 3 bulan memandangkan jurusan yang diambil tidak menawarkan subjek untuk melakukan semester pendek. Maka, sekali lagi diri ini perlu menghadapi cuti yang walaupun agak panjang, namun insyaAllah akan mampu untuk dimanfaatkan dengan sepenuhnya.=)

Sambil-sambil mencari idea saya sedang menikmati Mee Kolok buatan ayah saya.=) Dengan izin dan berkat-Nya insyaALLAH, semoga perniagaan Mee Kolok dan Laksa Sarawak ayah saya akan bertambah maju! Amin… Ehehehe…

Diam tak diam, kini saya menunggu semester seterusnya untuk dibuka. Buka sahaja semester yang baru itu nanti, genaplah setahun saya berada di UIAM Kampus Kuantan. Setahun yang lalu, selesai sahaja Matrik di Petaling Jaya, saya sudah memulakan sesi merungut, betapa malangnya saya kerana terpaksa belajar nun jauh di Kuantan. Bayangan untuk belajar di Kampus Gombak semakin pudar dan terasa ingin ditangisi. Namun, seharusnya saya sedar bahawa setiap aturan Tuhan itu pasti ada hikmah yang tersembunyi. Pasti ada hikmah yang kita tidak sedari. Perjalanan yang dijadualkan pada awalnya, terpaksa diawalkan seminggu sebelum tarikh tempahan tiket yang awal setelah menerima surat tawaran ke Kuantan. Debaran semakin terasa kerana tidak tahu apa sebenarnya yang bakal dihadapi. Apa yang saya tahu, perjalanan pulang ke bumi Miri pasti lebih susah untuk diatur, lebih kurang peluang untuk menghadiri usrah PERKEPISMA di KLCC, pastinya tidak banyak toko buku yang boleh dilawati dsitu dan niat untuk terus aktif dalam silat harus dipendam buat sementara waktu. Segala-gala pasti akan lebih mudah jika meneruskan pelajaran di kampus Gombak.


Apa yang saya ketahui semuanya tepat, apabila kaki ini menjejakkan kaki ke Kampus Indera Mahkota. Namun, apa yang saya perlu sedari, peluang yang lebih luas dan terbuka disini berbanding jika saya berada di Kampus Gombak. Rasa sayang semakin hari semakin mekar…=) Hati saya selalu berkata, Kuantan mengajarku lebih memahami erti syukur. Memang benar, perjalanan untuk balik bercuti lebih banyak prosedur, namun memberikanku peluang untuk menaiki bas bersama rakan-rakanku yang tinggal di Kuala Lumpur. Memang benar susah dan rindu akan usrah di KLCC, namun rasa rindu inilah yang mencetuskan rasa ingin mengajak rakan satu negeri membuat usrah di Kuantan dan alhamdulillah berjaya dibuat walaupun jarang. Memang benar, toko buku tidak banyak, makanya, menjadikan sebab untuk sekali-sekala menziarahi abang dan rakan-rakan di Kuala Lumpur. Segala-galanya sudah diatur dengan cantik oleh yang Maha Bijaksana. Apabila kita mampu untuk bersabar menempuh segala liku, kita akan lebih menikmati dan merasai nikmat hidup itu.

Hidup adalah satu proses yang diatur dengan penuh kesabaran. Perkara yang paling mudah untuk menilai sabar dalam kehidupan ialah, tanpa sabar kita tidak akan dapat menikmati Maggi kerana kita perlu sabar untuk menunggu air panas. Tanpa sabar, kita tidak akan ada pakaian kerana tukang jahit tidak sabar menjahit pakaian. Jika tidak sabar, mungkin kita tidak akan lahir ke dunia kerana ibu kita tidak sabar menunggu kita terbentuk dengan penuh kesabaran selama 9 bulan 10 hari. Masya-ALLAH, betapa pentingnya kita bersikap sabar dalam kehidupan seharian. Akhir kalam, setiap hari yang kita lalui, andai disulami dengan sabar, kita akan mendapat hasil yang setimpal dengan kesabaran kita. Walaupun, kita tidak dapat meneka masa depan kita dengan pasti, maka percaya dan yakinlah bahawa aturan ALLAH itu adalah aturan yang terbaik dan Dia akan memberikan yang terbaik buat hamba-hamba-Nya yang bersabar.


Demi Masa! ۞ Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian ۞ Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
(Al-Asr:1-3)

”Jadilah perindu dan pengejar redha Ilahi” =)

Wallahualam

15:17

1 comment:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.